Google Translator

Wednesday, December 19, 2007

Di Persimpangan Dilema (final)


Ima duduk diam membiarkan Kak Anis, mak andam itu membetul-betulkan tudung berwarna peach yang melitupi rambut dan dadanya. Dipaksa diri ketawa mendengar celoteh Hanim, teman serumahnya. Bukan celoteh Hanim tidak kelakar tetapi dia yang sebenarnya resah. Akan bahagiakah aku? Bagaimana kalau….? Bermacam-macam perkara bermain-main di fikirannya. Astagfirullahal azim…Kenapa dengan aku ni. Bukankah aku telah meminta petunjuk dari-Nya.


‘Ima…makcik faham keadaan Ima. Makcik nak Ima tahu, siapa pun di antara Hafizi dan Fuad yang jadi pilihan Ima, makcik akan seikhlas hati menerima Ima sebagai menantu. Dan kalau….kalau bukan di antara mereka berdua yang jadi pilihan Ima, makcik redha dengan ketentuan Allah. Tak ada rezeki makcik nak bermenantukan Ima. Tapi janganlah Ima tak datang menjenguk makcik langsung nanti.’ Lembut dan sayu kedengaran suara Puan Aishah menyuarakan isi hatinya.

Kak Long Mahani yang duduk di sebelah Puan Aishah hanya mengangguk mengiakan kata-kata emaknya. Dia rasa bersalah terhadap Ima, walaupun dia bukannya sengaja menimbulkan gelodak di hati gadis itu. Pertemuan dengan adiknya Hafizi tempohari yang mendorong dia untuk bercerita dengan emaknya dan lantas mengunjungi Ima untuk memberitahu bahawa tiada guris di hati mereka walau apapun keputusan gadis itu. Cuma sedikit terkilan andainya tidak seorang pun di antara Hafizi dan Fuad yang menjadi pilihan Ima.

‘Makcik, Kak Long, terima kasih kerana memahami Ima. Berilah Ima masa untuk berfikir,’ ujar Ima yang duduk di sebelah Mak Denya.

‘Fikirlah masak-masak Ima, ini masa depan Ima.’ Nasihat ketiga-tiga wanita itu masih lagi terpahat di ingatan Ima. Masakkah keputusan aku? Heemm…masak ke…separuh masak ke…aku dah sah jadi isteri orang malam tadi. Sukar untuk Ima membuat keputusan sebenarnya. Walaupun dia agak marah dengan tindakan Hafizi berterus-terang dengannya di saat-saat dia mengukir bahagia bersama Fuad, namun dia tetap menimbangkan nasihat lelaki itu pada pertemuan yang lalu. Lantas solat istikharah dilaksanakan, bukan sekali tetapi tujuh kali, hingga dia benar-benar yakin untuk membuat keputusan.

Upacara akad nikah berlangsung tenang malam tadi. Yakin dan tenang suaminya melafazkan akad. Cuma hati Ima yang berkocak. Ya Allah, tenangkanlah aku. Yakinkanlah aku dengan keputusanku. Doa Ima berkali-kali dalam hati.

Lamunan Ima terhenti bila beberapa wajah yang dikenalinya tersembul di muka pintu bilik. Dia tersenyum gembira menerima kehadiran rakan-rakan zaman persekolahannya dulu.

‘Tahniah Ima,’ suara seorang rakan lamanya sambil bersalaman dengan Ima.

‘Tak sangka wanita hati besi kita akan kahwin hari ni. Siapalah jejaka bertuah yang berjaya mencairkan hati besi kau tu? But anyway…congrats Ima,’ sampuk seorang yang lain. Kata-kata itu meletuskan ketawa besar bagi mereka yang berada di dalam bilik itu.

Ima turut tertawa dengan usikan rakannya itu. Dia maklum dengan gelaran wanita berhati besi yang diberikan kepadanya sewaktu zaman persekolahan. Gelaran itu timbul lantaran sikapnya yang langsung tidak mengendahkan salam perkenalan dari pelajar-pelajar lelaki yang ingin menjalin hubungan cinta tadika dengannya. Aku ke sini untuk menuntut ilmu, dan ilmu cinta bukan satu darinya, aku juga tak mahu kecewa, fikir Ima waktu itu. Masanya dihabiskan dengan belajar bersungguh-sungguh dan bergiat aktif dalam kegiatan-kegiatan ko-kurikulum. Hati Ima yang sekeras besi waja itu terbawa-bawa hingga ke alam pekerjaan, sehinggalah dia diperkenalkan dengan Hafizi oleh seorang kawannya. Sedangkan batu pun akan lekuk jika dititis air. Begitu juga hati Ima. Akhirnya lembut juga dengan perhatian yang diberikan oleh Hafizi. Oleh sebab itulah hatinya benar-benar terluka dengan sikap Hafizi yang seolah-olah mempermain-mainkan dirinya.

‘Dah bertemu jodoh, kahwinlah aku. Korang pergilah makan dulu, jap lagi aku bersanding. Tunggu tau, nanti kita boleh ambik gambar.’

***************
Azan Isyak yang berkumandang dari masjid berdekatan mengejutkan Ima yang terlelap selepas selesai solat maghrib dek kerana kepenatan melayan tetamu yang hadir, disambung pula dengan gotong-royong mengemaskan rumah dan persekitarannya.

Ima terus bangun menuju ke bilik air untuk mengambil wudhuk. Sekembalinya dari bilik air, Ima agak terperanjat melihatkan kelibat suaminya yang sedang duduk di birai katil, seolah-olah sedang menantinya. Selepas selesai majlis bersanding dan makan berhidang siang tadi, mereka tidak berkesempatan untuk berbual-bual berduaan.

‘Kita jemaah Ima.’ Ringkas ucapan suaminya.

Ya Allah…Ikhlaskanlah aku menerima dia sebagai suamiku, doa Ima sungguh-sungguh dalam hati sewaktu mengucup tangan suaminya selepas mereka berdua selesai berjemaah Isyak. Tanpa dapat ditahan setitik air matanya menitis lantas mengenai tangan suaminya. Ima segera mahu bangun namun pegangan kemas dibahu memberhentikan tindakannya itu. Dia terpaksa duduk semula menghadap suaminya yang masih bersila di atas sejadah.

‘Ima…duduk dulu. Ima nak ke mana tergesa-gesa ni?’ soal suami Ima lembut.

‘Aa…aa…nak tolong mak di dapur. Boleh buat air milo sekali. Nak minum milokan?’ Ima tidak keruan menjawab soalan dari suaminya.

‘Takpe, milo tu boleh buat kemudian. Dapur pun dah habis kemas tadikan…..Sejuknya tangan Ima, Ima berendam dalam ais ye?’ Suami Ima cuba berjenaka apabila melihatkan Ima keresahan. Lahir sedikit senyum di bibir Ima tetapi tidak lama. Keresahan kembali menerpa.

‘Ima…kenapa ni? Ima tak suka dengan perkahwinan kita?’ suami Ima buat-buat sayu ala-ala lakonan Rosyam Nor. Suami Ima memaut dagu Ima perlahan, supaya pandangan Ima menghala kepadanya. Dia merenung Ima lembut, terpancar cahaya kasih yang melimpah ruah buat isterinya yang seorang itu di mata.

‘Entahlah…susah nak cakap.’ Terlepas keluhan berat dari mulut Ima. Perasaan Ima bercampur-aduk, gembira, sedih, suka, hiba, hingga menjadi sesuatu yang sukar ditafsirkan. Bahagiakah aku dengan penyatuan ini? Cintakah aku kepadamu wahai suami? Dapatkah aku menjadi isteri yang baik dan solehah buatmu? Segala macam persoalan timbul di benak fikiran Ima.

‘Ima..…sesungguhnya abang teramat gembira hari ini. Gembira dan bersyukur kerana kita sah disatukan menjadi suami isteri. Tapi abang tak mahu andainya hanya abang yang gembira dan bahagia, sedangkan Ima sebaliknya. Kongsilah dengan abang, apa yang merisaukan Ima.’ Tangan Ima dielusnya perlahan.

‘Aa..awak…saya…hheemmm.’ Ima mengeluh lagi.

‘Awak?! Ala..tak best la panggil awak. Panggil la kekanda ke.. honey ke..sweetie ke...munchkin ke..baru best’ , tegur suami Ima sambil membuat mimik-mimik muka yang kelakar.


‘ Uwekk..’ balas Ima sambil menjelirkan lidah. Hilang rasa gelisah di dada melihatkan kelakuan suaminya yang kelakar itu. Namun fikirannya hinggap pada pertemuan dua bulan yang lalu.


‘Ima….kita telah diberi petunjuk oleh Allah melalui istikharah kita. Nyata tiada jodoh antara kita. Perit untuk I akui hakikat ini, tapi Allah itu Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Kita wajib redha dengan Qadok dan Qadarnya. I ikhlas menerima you sebagai ipar I.’ Ingin disapunya rembesan air mata yang membasahi pipi Ima tetapi dia tahu syarak tidak mengizinkan lantas hanya sehelai sapu tangan dihulurkan kepada gadis itu. Dia tahu selepas ini dia perlu membuang jauh semua perasaan kasih dan sayang terhadap gadis itu yang telah bermukim di hati. Dia akur dengan ketentuan Illahi.


‘Ima,….abang tahu istikharah Ima telah melorongkan Ima kepada abang sepertimana istikharah abang yang telah menyakinkan abang untuk melamar Ima. Abang bersyukur pada-Nya kerana membukakan pintu hati Ima untuk menerima abang. Terima kasih pada Ima kerana sudi menjadi isteri abang. Abang janji abang tidak akan mempersia-siakan Ima.’ Dia akan menjaga Ima dengan sebaik-baiknya sebagaimana janjinya kepada saudara lelakinya. Dia bersyukur hubungannya dengan Ima akhirnya mendapat restu lelaki itu walaupun dia tahu hati lelaki itu terguris.

‘Abang…Ima akan belajar untuk menyintai abang. Sukar sebenarnya bang kerana hati ini pernah terluka. Ima tak mahu terluka untuk kedua kalinya. Bantulah Ima. Ima tak mahu menjadi isteri yang derhaka pada suami.’ Pinta Ima bersungguh-sungguh.

‘Insya-Allah Ima. Abang janji…kerana abang mahu Ima menjadi isteri abang dunia dan akhirat.’ Janji Fuad, suami Ima sambil mengucup dahi Ima.


Bagaikan permata
Dicelahan kaca
Kerdipnya sukar tuk dibezakan
Kepadamu Tuhan
Kupasrah harapan
Moga tak tersalah pilihan

Nur kasihmu mendamai di kalbu
Jernih setulus tadahan doaku
Rahmati daku dan permintaanku
Untuk bertemu di dalam restu

Kurniakan daku serikandi
Penyejuk di mata, Penawar dihati
Di dunia dialah penyeri, Di syurga menanti
Dia bidadari

Kekasih sejati teman yang berbudi
Kasihnya bukan keterpaksaan
Bukan jua kerana keduniaan
Mekar hidup di siram nur kasih

Ya Allah…
Kurniakanlah kami isteri dan zuriat yang soleh
Sebagai penyejuk mata….

Kurniakan kami serikandi
Penyejuk di mata, Penawar dihati
Di dunia dialah penyeri, Di syurga menanti
Dia bidadari

Kekasih sejati teman yang berbudi
Kasihnya bukan keterpaksaan
Bukan jua kerana dunia
Mekar hidup ini disirami nur kasih

Di tangan-Mu Tuhan
Kusandar impian
Penentu jodoh pertemuan
Seandai dirinya tercipta untukku
Relaku menjadi miliknya

Kurniakan daku serikandi
Penyejuk dimata, penawar dihati
Di dunia dialah penyeri, Di syurga menanti
Dia bidadari

Kekasih sejati teman yang berbudi
Kasihnya bukan keterpaksaan
Bukan jua kerana dunia
Mekar hidup ini disirami nur kasih
Mekar disiram nur kasih……..

-TAMAT-

2 comments:

achiema said...

waaahhh bestnye baca cerpen ko nih!!

Dilla said...

cerpen lama la kak.. aku nak tulis cerpen baru.. takdak masa.. kalau ada masa nak rehat je..