Google Translator

Saturday, August 28, 2010

Dalam Sujud Cintaku

video


Dalam menikmati kurniaan-Mu
Tak terucap lafaz terima kasihku
Namun untuk jadi yang terbaik
Juga masih belum kumampu
Dalam sujud cintaku
Fana kuulit rindu
Getirnya cemas dikalbu
Takut hidup tanpa redha-Mu

Saya baru jumpa lagu ni minggu lepas. Tajuknya Dalam Sujud Cintaku. 100% hasil tangan adik Abdul Halim dari kumpulan nasyid Devotees. Sedap sangat bait-bait liriknya. Mengalir air mata bila dihayati bait-bait liriknya itu. Mungkinlah nama Devotees ni belum segah Raihan, Hijjaz dan Rabbani. Tapi mendengarkan lagu-lagu ciptaannya, saya fikir mereka boleh pergi jauh. Sokonglah industri nasyid Malaysia :)
(Saya sekadar berkongsi, tak dapat komisyen apa-apa pun.)

Thursday, August 26, 2010

Santapan Jiwa

Maaf kerana saya lambat berkongsi ilmu yang saya perolehi ini. Awal Ramadhan lalu, seorang rakan berkongsi dengan mailing group kami di Newcastle tentang usaha seorang hamba Allah ini. Semoga Allah memberi ganjaran padanya atas usahanya dalam "meng'highlight'kan beberapa ayat drpd byk2 ayat al Quran dlm setiap juzuk.
Mungkin kita tak mampu untuk khatam dalam bulan Ramadhan ni (sayalah antaranya tu). Namun masih banyak ruang untuk kita mempertingkatkan amal ibadah kita.
Untuk "santapan jiwa" kita setiap hari sepanjang Ramadhan ni, apa kata kita jenguk Mutiara Al-Quran - Satu Juzuk Setiap Hari

Satu ayat yang menarik perhatian saya dari juzuk 16:

269. Berkata Musa: "Ya Tuhanku, lapangkanlah untukku dadaku, dan mudahkanlah untukku urusanku, dan lepaskanlah kekakuan dari lidahku, supaya mereka mengerti perkataanku, (Thaahaa, 20 : 25-28)

Ingat tak doa ni, masa kecil-kecil dulu sentiasa dilantunkan setiap kali nak start mengaji Al-Quran dan juga ketika nak ustazah nak memulakan kelas Pendidikan Agama Islam. Seolah-olah sempit sangat aplikasi ayat Quran dalam kehidupan kitakan. Padahal, sepatutnya setiap kali nak memulakan pembelajaran tak kiralah subjek apa sekalipun, kita patut amalkan doa ini. Saya fikir perkara-perkara kecil macam ni perlu diambil perhatian oleh kita yang bakal jadi ibu& telah jadi ibu.

Tuesday, August 24, 2010

Terharu


Petang tadi perancangannya nak balik jalan kaki ke rumah dari sekolah (universiti). Intai-intai ke luar tingkap, tengok awan mendung je. Tengok lantai kawasan yang tak beratap, basah. Sahih! Hujan tanpa saya sedari.

Terus saya telefon suami, minta dijemput. Selalunya memang suami jemput pun tapi sebab dia masih tak telefon, baik saya telefon. Line kat dalam ofis ni macam dalam gua. Pernah suami menunggu saya hampir sejam sebab bila dia telefon dari tempat parkir, terus masuk ke voicemail.

Masa telefon suami minta diambil tu dalam jam 5 petang. Katanya, "Abang sampai dalam pukul 5.25 OK?"

"OK. Abang, tolong keluarkan nanas dari peti boleh. Nanti balik boleh terus masak."

"Abang dah siap masak. Ayam pun Abang dah bubuh garam kunyit."

Oh! Terharunya saya. Sungguh! Memang suami rajin menolong di dapur. Tapi bila pertolongan yang sungguh 'unexpected' ni, terharunya jadi lebih.Pertolongan suami ni walaupun mungkin pada orang lain tak semahal intan berlian yang berkepuk-kepuk, tapi pada saya nilainya tiada tara. Perkara-perkara macam nilah jadi penawar bila timbulnya rajuk dengan suami. Mengingatkan saya supaya bersyukur dengan rezeki dan nikmat ini yang Allah anugerahkan buat saya.

Abang, terima kasih.

Friday, August 20, 2010

Perjalanan Ini

Perjalanan PhD ini masih jauh kurasakan
Walau waktu semakin menghambat setiap langkahku
Adakalanya aku rasa lelah
Adakalanya aku bersemangat jitu
Adakalanya aku bosan
Adakalanya aku rasa teruja
Adakalanya aku rasa gembira
Adakalanya aku rasa sedih
Lantas aku menangis
Adakalanya aku hilang rasa

Titik hujung itu
Kadangkala kurasakan semakin hampir
Kadangkala kurasakan hilang dalam terang
Kadangkala secerah sinar mentari
Kadangkala berkabus

Ya Allah
Redhailah perjalananku ini
Jadikanlah ia sebahagian dari ibadahku
Redhailah secebis ilmu-Mu untukku
Jadikanlah aku manusia yang memanfaatkan ilmu-Mu untuk umat Muhammad.
Aaamin.

*hasil luahan sendiri. Tidak dibenarkan meng"kopi-pes". Haha... budget macam A.Samad Said pulakkan diri ini.

Thursday, August 19, 2010

Takde Mood

Sejak sampai ke Newcastle hari Sabtu minggu lepas, saya tak ada mood nak memasak mahupun nak makan. Tak taulah kenapa. Kalau tak de mood nak memasak tu bolehlah difahami, ini mood nak makan pun tak de. Nasib baik suami saya rajin ke dapur. Memang dia saja yang memasak juadah untuk berbuka. Minggu ni masakan suami bertemakan resepi mamak dan resepi india/pakistan. Kari ikan ala mamak la, chicken tikka la, sampaikan sayur pun goreng ala mamak juga. Terima kasih Abang! *love*

Saya balik dari universiti dalam jam 5 petang, terus baring dan tidur. Badan macam tak berdaya gitu. Dalam jam 8 p.m. suami kejutkan untuk solat Asar dan seterusnya bersiap untuk berbuka (berbuka lebih kurang jam 8.45p.m.). Ada tak ada tugas saya, sekadar memanaskan nasi dan lauk pauk untuk bersahur. Harap-harapnya hari ni saya lebih bertenaga dan boleh memasak. Terasa rindu pulak nak memasak.

Friday, August 13, 2010

Hidup ni perlu redha

Hati saya jadi sebak tiap kali melihat Tok sedang tidur. Kurang 24 jam dari sekarang saya akan kembali ke Newcastle. Beberapa malam lepas, kami sama-sama menitiskan air mata. Terutama bila saya kata " Tok ikutlah Na balik [ke Newcastle].Tak pernah hati saya sesedih ini untuk berpisah dengan Tok. 
Saya maklum pastinya bapa saudara dan mak saudara saya dapat menjaga Tok lebih baik dari yg saya. Tapi saya tak dapat menahan air mata dari mengalir bila memikirkan Tok pasti kebosanan tinggal jauh dari rumah sendiri. Tok tak pernah betah berlama-lamaan tinggal di Kuala Lumpur sebelum ini. Tapi kali ini Tok mesti tinggal bersama anak-anak di Kuala Lumpur. Tambahan pula Tok perlu pengawasan susulan dari doktor. Kata Tok kalau kat rumah di kampung, waktu-waktu Tok terisi dengan menyiram bunga, menanam lada dan terung, dan menduah kera yg masuk ke laman rumah. (Menduah = menghalau).

Sejak Tok keluar wad hari tu (pertengahan Jun), jadual makan ubat Tok saya yang uruskan. Walaupun Tok boleh uruskan sendiri tapi saya fikir ini peluang untuk saya berbakti pada Tok. Juga peluang untuk saya menebus segala dosa-dosa yang pernah saya lakukan dan buat hati Tok terluka. Kalau pergi ke mana-mana, Tok akan berpimpinan dengan saya. Sebenarnya Tok tak perlu bantuan saya untuk berjalan, cuma bila berjalan untuk jarak yang agak jauh, kami risau Tok rasa penat sangat lantas mungkin akan jatuh. Pastinya nanti saya akan terasa sunyi sebab selama hampir 2 bulan Tok tinggal bersama suami dan saya di Newcastle. Suami yang sekarang berseorangan kerana tak dapat pulang bersama menghantar Tok balik pun mengadu terasa sunyi. Katanya, mula-mula ada De sekeluarga dan Ayen adik saya. Lepas mereka balik, Tok masih ada. Lepas Tok balik, rumah terasa kosong.

Saya tidak pernah menangis sebelum ini tatkala berpisah dengan Tok walaupun selepas itu pasti timbulnya rindu. Lagipun, kemudahan untuk menelefon kan ada. Jadi saya memang kerap menelefon Tok. Kali pertama berpisah sewaktu usia saya 13 tahun, bilamana saya mula belajar di sekolah asrama penuh -  saya tak menangis. Kali kedua, bila saya sambung belajar di PPP/ITM Shah Alam. Itupun saya tidak menangis. Kali ketiga, sewaktu saya ke Amerika untuk menyelesaikan kursus ijazah pertama saya. Kali terakhir tahun lepas, semasa saya berlepas ke Newcastle -  yang ini saya tak berapa ingat, sungguh! Adalah beberapa titis air mata kot. Tapi untuk pagi esok, saya tak pasti. Mungkin saya akan menangis, mungkin juga tidak; kerana menulis yang inipun air mata saya dah berjujuran.

Semalam saya luahkan sekali lagi rasa sedih tentang Tok pada suami. "Hidup kita ni perlu redha...", nasihat suami pada saya. Betul kata suami, saya seharusnya bersyukur sebab Tok sudah pulih. Saya tahu saya perlu terima takdir ini. Cuma kadang kala hati terasa sebak.Saya tak tahu apa akan terjadi pada masa depan, namun saya harus berdoa yang terbaik buat Tok.