Google Translator

Wednesday, August 15, 2007

Di Persimpangan Dilema(4)


#Part 4#

Kacau...memang kacau. Dalam berjuta lelaki dalam dunia ini, kenapa adik aku yang jadi pilihannya.

‘Achik, yang ini Ima, ‘kawan’ Fuad.’

Masih terngiang-ngiang di telinga Hafizi kata-kata ibunya tatkala memperkenalkan Ima kepadanya. Ayat itulah yang menyesakkan kotak fikirannya sejak dia pulang dari kampung seminggu yang lalu. Dan selama seminggu ini dia benar-benar buntu. Buntu sebuntu-buntunya.

Masakan dia tidak kenal Ima, gadis yang dicintai tanpa disedari. Mengapa baru sekarang dia sedar akan hal ini. Mengapa selama ini dia dalam kegelapan tentang perasaannya terhadap Ima. Mengapa dikala dia bakal kehilangan Ima kepada adiknya sendiri baru dia sedar betapa pentingnya gadis itu dalam hidupnya. Mengapa tidak dulu, tidak dua tahun yang lalu tatkala Ima menyatakan perasaannya.

‘Who am I to you, Hafizi?’ soal Ima semasa mereka berdua keluar makan buat kali yang terakhir.

Andainya dia tahu itu adalah pertemuan terakhir, tentu dia akan bertindak lebih matang. Tentu dia akan mengambil serius akan pertanyaan Ima. Tentu dia tidak akan ketawa-ketawa ketika menjawab soalan Ima.

‘Well, we’re friends, aren’t we?’ Hafizi menjawab soalan Ima dengan pertanyaan.

‘Sure we’re friends, but…what kind of friends?’

‘Close friends, best friends…you name it,’ Hafizi masih selamba menjawab soalan Ima biarpun dia mula terasa kelainan pada persoalan yang Ima utarakan. Nada suara Ima yang serius menyakinkan Hafizi bahawa ada sesuatu yang sedang sarat bermain di kotak fikiran gadis itu..

‘So.. I’m just a friend to you then. Hemm…may I ask you a question?’

‘Well, shoot.’

‘I’m curious you know. If I’m just “a friend”, why did you buy me all the presents, why do you have to tell me every time you’re going away, and why the “I miss you dear”?’

Terhenti suapan Hafizi di tengah jalan. Hafizi bungkam dengan pertanyaan Ima. Dia sendiri tidak tahu bagaimana hendak menjelaskan segala tindak-tanduknya sepanjang persahabatan mereka. Tidak terfikir olehnya bahawa Ima akan mempersoalkan semua itu. Fikirannya ligat mencari-cari jawapan terbaik untuk Ima.

‘Before I answer your question, may I know why do you ask?’

‘Just to satisfy my curiosity….’ balas Ima.

‘I care for my friends and, you’re a dear friend to me Ima. Shouldn’t I show my appreciation by doing all that?’ Hafizi menjawab soalan Ima sambil ketawa kecil untuk menutup keresahan di hati.

Hafizi akui bahawa hubungannya dengan Ima memang rapat malah menurut Adli, teman rapatnya, seperti orang bercinta.

‘Banyak kau beli kain sutera. Nak bagi siapa?’soal Adli semasa mereka membeli-belah di sebuah bazaar di Negara China.

‘Ala.. satu untuk mak aku, satu untuk kakak aku…’balas Hafizi.

‘Yang satu lagi tu?’

‘Untuk kawan aku.’

‘Kawan kau Ima tu ye? Kawan ke buah hati Fizi? Kawan-kawan lain kau tak belikan pun? Aku tengok kau, tiap-tiap kali outstation mesti beli hadiah untuk dia. Bukan hadiah cikai-cikai pulak tu. Mengalahkan orang bercinta kau ni.’ Adli menyoal bertubi-tubi. Hafizi masih ingat ketika itu dia beria-ia menegaskan pada Adli bahawa antara dia dan Ima hanya teman biasa walaupun dia sebenarnya sangsi dengan penjelasannya sendiri.

‘Emm….untunglah sesiapa yang jadi kawan-kawan you, selalu dapat hadiahkan. Lama-lama you boleh bankrupt tau,’ sinis kata-kata Ima mematikan lamunan Hafizi.

‘Eh…. I taklah beli untuk semua kawan, mana mampu. I cuma beli untuk a few close friend, antaranya you dan bakal tunang I,’ Hafizi terus-terusan ketawa kecil menjawab soalan Ima. Keresahan mula menjalar ke seluruh fikiran dan perasaan Hafizi.

Tersentak Ima mendengar penjelasan Hafizi. Penjelasan yang tidak pernah terlintas di fikiran. Dia cuba untuk menyembunyikan riak terkejutnya.

‘Bakal tunang you tak kisah ke you keluar dengan I ni?’

‘Bakal tunang I sporting,’ Hafizi menjawab ringkas. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu memanjangkan isu ini.

Hafizi sengaja menambah perkataan “bakal tunang” walaupun pada hakikatnya dia tidak mempunyai sebarang ikatan dengan mana-mana gadis. Pada fikirannya, dia harus berbuat sedemikian agar Ima tidak menaruh harapan padanya. Memang dia senang bersama Ima tetapi dia belum benar-benar pasti akan perasaannya. Cintakah dia pada Ima?

Andainya tika itu dia tahu begini jadinya, tentu tidak cabul mulutnya mengeluarkan perkataan bakal tunang. Tentu dia sekurang-kurangnya cuba memahami perasaan Ima.

Sejak dari peristiwa itu, Hafizi dapat merasakan hubungannya dengan Ima agak renggang. Ima masih mesra seperti sebelumnya, masih setia mendengar celoteh Hafizi, tetapi Ima agak keberatan untuk berjumpa, walaupun hakikatnya sebelum peristiwa tersebut pun mereka memang jarang berjumpa disebabkan oleh kesibukan masing-masing. Alasan Ima, keluar bersama bakal tunangan wanita lain tentunya akan menimbulkan syak wasangka. Ingin saja Hafizi mengaku yang dia berbohong, tetapi demi ego lelakinya dia berdiam diri.

Beberapa bulan selepas itu, Hafizi dikejutkan dengan kehadiran satu bungkusan yang dialamatkan ke pejabatnya. Dia benar-benar tersentak dan rasa bersalah terhadap Ima menyelubungi dirinya.

Hafizi,
Maaf dipinta andainya warkah ini menganggu. Sukar sebenarnya untuk Ima luahkan apa yang terbuku di hati. Tetapi Ima fikir sebagai “kawan” ada baiknya Ima berterus-terang agar kita sama-sama mengambil iktibar.

Hafizi,
Ima pohon maaf kerana telah silap menafsir segala kebaikan Hafizi terhadap Ima selama ini. Maaf jua dipohon kerana tanpa Ima sedari Ima telah mula menyayangi Hafizi lebih dari seorang teman biasa. Perhatian dan sikap ambil berat yang Hafizi tunjukkan benar-benar menyentuh hati Ima. Sangkaan Ima bahawa Hafizi mempunyai perasaan yang sama sebagaimana perasaan Ima terhadap Hafizi rupanya jauh meleset. Selama ini Ima hanya bertepuk sebelah tangan rupanya.

Hafizi…
Mungkin Ima yang silap dalam membuat perhitungan. Tetapi Ima yakin, Ima bukanlah dari golongan orang yang cepat melatah asal saja dicuit. Kalau tidak kerana perhatian dan sikap ambil berat Hafizi, tidak mungkin akan timbul perasaan di hati ini. Mungkin Hafizi merasakan bahawa Ima menuduh Hafizi, terpulang pada Hafizi untuk menafsirnya.

Hafizi…
Sekiranya di waktu-waktu mendatang, Hafizi bertemu dengan wanita yang Hafizi anggap sebagai kawan biasa sahaja, layanilah mereka seadanya. Usahlah berlebih-lebihan dalam layanan Hafizi pada mereka ( sepertimana layanan Hafizi pada Ima) kerana tidak mustahil mereka juga akan berperasaan seperti Ima, lantas silap menafsirkan segala kebaikan yang Hafizi curahkan.

Hafizi
Ima juga bimbang bakal tunang Hafizi akan berkecil hati dengan perbuatan Hafizi ini. Hati wanita sememangnya sensitif. Jagalah ia sebaik mungkin. Ima doakan Hafizi dan bakal tunang akan berbahagia sentiasa.

Hafizi
Ima kembalikan segala pemberian Hafizi sepanjang persahabatan kita. Ima amat menghargainya tetapi Ima tidak dapat menyimpannya. Bukan niat Ima untuk memutuskan persahabatan yang telah terbina antara kita. Tetapi Ima fikir Ima perlu menjarakkan diri buat seketika kerana jika kita berhubungan sukar sebenarnya bagi Ima untuk mengikis perasaan Ima pada Hafizi. Tidak ikhlas rasanya Ima jika dimulut mengaku bersahabat, tetapi di hati masih mengharap pada Hafizi. Ima pohon halalkanlah segala-galanya sepanjang persahabatan kita. Insya-Allah jika ada rezeki kita akan bertemu lagi sebagai sahabat.

Bait-bait kata dalam warkah yang Ima sertakan mengusik perasaannya. Sejak
warkah itu Ima utuskan, Ima tidak lagi menghubungi Hafizi. Hafizi tidak menafikan wujudnya kekosongan dalam jiwa. Tetapi ego lelakinya mengatasi segala. Tambahan pula ramai wanita lain yang sudi menghulurkan persahabatan. Bagi Hafizi ketika itu datang pergi wanita dalam hidupnya umpama pepatah; patah tumbuh, hilang berganti. Fikir Hafizi, tidak salah jika dia bersahabat seramai mungkin.

Diluar sedarnya, dia sering membandingkan rakan-rakan wanitanya dengan Ima. Dia akhirnya akur, tiada seorang pun dari wanita-wanita itu dapat menandingi keperibadian Ima. Ada benarnya kata orang, kita akan hanya menghargai sesuatu bila ia tiada di sisi.

Ima sahabat yang tidak berkira, sedia menghulurkan pertolongan bila diperlukan. Ima seorang pendengar yang baik, sanggup mendengar segala keluh-kesahnya. Ima gadis yang terlalu berdikari, tidak suka meminta pertolongan orang selagi berdaya melaksanakan sesuatu. Ima yang sentiasa ceria.

Namun penyesalan yang lewat hadir memadamkan harapan Hafizi untuk kembali bersahabat dengan Ima. Puas Ima cuba dihubungi, menerusi nombor telefon pejabat mahupun nombor telefon bimbitnya, jawapan yang diterima memang menghampakan.. Jika ditelefon pejabat tempat Ima bekerja, jawab mereka Ima bercuti untuk menyambung pelajarannya. Jika ditelefon telefon bimbit Ima, suara yang tidak dikenali akan menjawab menyatakan tidak mengenali siapa Nur Fatima.

Hafizi pasrah. Dia hanya berdoa semoga dipertemukan semula dengan Ima agar dia dapat memohon maaf kerana telah menyakitkan hati seorang sahabat. Dia juga berharap andainya bertemu dia diberi peluang kedua untuk memenangi semula hati gadis itu.

‘Aaarrggghhh…’ keras keluhan Hafizi. Dia terus menekan pedal minyak tanpa menghiraukan had laju yang sekadar menjadi perhiasan di tepi jalan. Kepalanya sarat. Hafizi tidak nampak jalan keluar yang terbaik bagi situasi ini.

-Takkan aku nak rampas dia dari adik aku sendiri.
-Tapi kalau dibiarkan, aku yang merana. Ima pun mungkin merana sama?
-Heh..heh.. perasan!!!Dia dah tak heran kat kau la…
-Hemm.. susah-susah sangat pegi jumpa Fuad, minta dia lepaskan Ima. Tapi Ima entah hendak entah tidak kat aku?
-Alaa…dulu dia nak, takkan sekarang tak nak pulak.
-Kalau dia nak senang la. Buatnya dia tak nak…
-Pujuk la…tak makan pujuk …paksa….
-Haaa…haaa…haaa.. gila apa?

Hafizi berperang dengan perasaan sendiri. Tanpa disedarinya dia telah berada di depan rumah Kak Longnya.


*******************************************************************
cik zun, sori ye lambat hantar sambungan cerpen ni ;)

No comments: