Google Translator

Tuesday, November 6, 2007

Soto, mmm...lazatnya

Resipi soto ni saya ambil dari blog ‘Chetam’. Dia tak kenal pun saya. Cuma resepi ni saya dah alter untuk hidangan 2 orang makan dan sekali tambah. Kalau pasangan yang masih berdua2an tu bolehlah cuba.

Resepi ni nampak macam panjang. Tapi sebenarnya akan jadi mudah kalau kita susun cara kita bekerja di dapur. Contohnya:-
a) Bila kita mengupas bawang untuk sup, kita kupas terus bawang untuk begedil dan sambal kicap
b) Begitu juga bila kita menggoreng bawang untuk begedil dansambal kicap, tak perlu goreng asing-asing. Goreng je sekaligus, kemudian baru asingkan.

Yang paling penting, saya percaya kita perlu rancang aktiviti kita di dapur, Apa yang patut di masak dulu, dan seterusnya. Barulah kerja jadi mudah :) Selamat mencuba!

A. Sup
1. Suku ekor ayam ( kira-kira dalam 5-6 ketul)- direbus di dalam air. Air tu banyaknya biarlah ampuh isi ayam dan cukup untuk kuah sup. Rebus sampai ayam tu dah tak warna merah lagi.
- kalau rajin, keluarkan ayam dan siat isinya. Tulangnya masukkan semula ke dalam air rebusan. (Note dari Chetam: Ada yang suka goreng dulu ayamnya selepas rebus, sebelum disiat)
- kalau kurang rajin, tak perlu buang masa siat isi ayam tu. Biarkan je dalam air rebusan.
2. 3 ulas bawang merah
3. 3 ulas bawang putih
4. 2 cm halia ditumbuk/ dikisar
5. 1 cm lengkuas
6. 2-3 sudu besar rempah sup Adabi, dibuat pes
7. 1 sudu besar ketumbar ( digoreng tanpa minyak & dikisar halus)
8. 1 sudu besar lada hitam, ditumbuk kasar
9. 1 biji buah keras
10. Minyak secukupnya untuk menumis
11. Gula dan garam

Cara
1. Panaskan minyak.
2. Tumiskan bahan yang ditumbuk/dikisar sehingga terbit bau
3. Masukkan ketumbar dan lada hitam, biarkan sehingga pecah minyak
4. Masukkan pes sup, biarkan sehingga naik bau
5. Masukkan air rebusan ayam (berserta ayam kalau tak asingkan ayam) dan buah keras
6. Didihkan dan sesuaikan gula dan garamnya.



B. Begedil
1. 3 biji kentang kuning, sederhana besar, dihiris nipis dan digoreng hingga empuk, tumbuk
2. setengah cawan daging/ayam kisar- digoreng hingga bertukar warna
3. 2 ulas bawang merah kecil, digoreng sebentar
4. 2 ulas bawang putih, digoreng sebentar
5. 1 sudu teh ketumbar, digoreng tanpa minyak dan ditumbuk
6. segenggam daun saderi (sup) dan daun bawang (dicampur) yang telah dipotong halus ( kalau suka, boleh lebihkan)
7. Garam secukup rasa
8. 1 biji telur, dipukul
9. Minyak untuk menggoreng

Cara
1. Tumbuk bawang merah dan bawang putih
2. Masukkan ke dalam kentang yang telad ditumbuk
3. Masukkan ketumbar, daun saderi (sup) dan bawang
4. Masukkan garam, gaul rata
5. Kepalkan adunan (anggaran dua sudu makan setiap satu), bulat dan leperkan.
6. Masukkan kedalam perti sejuk selama satu jam, untuk mengekalkan bentuknya supaya tidak mudah lerai bila digoreng. ( Tapi kalau nak cepat, terus goreng pun takpe)
7. Panaskan minyak
8. Celup begedil dengan telur, sehingga rata litupnya dan goreng sehingga berwarna keperangan.


C. Sambal kicap
1. 4 biji cili padi, goreng hingga pecah kulit
2. 2 ulas bawang putih, goreng bersama cili
3. 4 sudu besar kicap manis
4. 1 biji limau nipis
5. 1 sudu makan gula

Cara
1. Tumbuk cili dan bawang putih hingga lumat
2. Masukkan gula. (Note dari Chetam: gesek-gesekkan dengan anak lesung , jangan tumbuk nanti sambal akan jadi pijar)
3. Masukkan kicap dan perahkan limau
4. Kacau rata dan simpan di dalam peti sejuk sekurang-kurangnya sejam sebelum dihidangkan. ( Kalau nak terus hidangkan pun tak pe)


D. Bahan Hidangan
1. Nasi himpit, dipotong dadu
2. Taugeh, dicelur (atau boleh dibasuh sahaja)
3. Suhun, digoreng
4. Bawang goreng
5. Daun saderi (sup) dan daun bawang
6. Limau nipis, dipotong (optional)

Cara
1. Letakkan nasi himpit, daging ayam, taugeh dan suhun
2. Curahkan sup
3. Taburkan bawang goreng dan daun
4. Letakkan begedil dan sambal kicap
5. Perahkan sedikit limau nipis (jika suka)

3 comments:

Jannah Ibrahim said...

wah ...lapar lak aku baca ko nyer resepi...baru baca tuh...huhuhuhu

Dilla said...

try la che'a.. mmg sodap... kalau rajin.. bole bisnez soto gitu.. hahahah...

norsa said...

dla..
wira ckp dia pegi slab course dgn ko skali..ko nak study kat mane nnt? any plan to come here?