Google Translator

Monday, July 23, 2007

Di Persimpangan Dilema(3)

Bertemankan Ana dan Hanim, Ima memandu kereta Wira Aerobacknya menuju ke kampung Fuad untuk menghadiri majlis perkahwinan sepupu Fuad. Perjalanan selama dua jam itu tidak meletihkan Ima kerana mereka riuh rendah bercerita. Maklumlah hari-hari biasa masing-masing sibuk dengan kerja. Sesekali terdengar gelak ketawa mereka.

‘Ima, kau tak rasa nervous ke nak jumpa bakal mak mertua?’ soal Ana sambil mengenyitkan matanya.

‘Mau tak nervous. Tapiii..at least aku kenal Kak Long dia. So kurang la sikit dup-dapnya jantung aku ni’.

‘Eh! Macamana kau boleh kenal Kak Long dia pulak? Kau tak pernah cerita pun’, soal Ana agak terkejut.

‘Tu la engkau, busy 24 jam, mengalahkan PM. PM pun tak busy macam kau. Ima dah bagitaula dulu, kau yang tak ingat kot. Tak pun masa tu kau outstation.’, Hanim mencelah.

‘Cik Hanim, PM tu ada assistant, sebab tu la dia tak sebusy aku. Aku..nak harapkan engkau jadik assistant, hemmm..baik aku mintak anak sedara aku yg 4 tahun tuh’, balas Ana sambil menampar lengan Hanim.

‘Ima..cakap la macamana kau boleh kenal Kak Long si Fuad tu pulak?’ soal Ana lagi tidak puas hati.

Ima tersenyum mendengar desakan Ana. Kawannya yang seorang ini memang kuat mendesak. Selagi tidak puas hatinya, selagi itulah dia akan bertanya.

‘Kak Long Fuad tu kawan Mak De aku. Diorang berkawan masa sama-sama belajar di universiti dulu, sampailah sekarang ni pun masih berhubungan lagi,’ terang Ima.

Sememangnya Ima tidak menyangka pertemuan dengan Kak Mahani iaitu Kak Long Fuad semasa jamuan Hari Raya Aidilfitri di rumah Mak Denya itu akan berlanjutan sehingga membawa kepada bermulanya hubungan dia dengan Fuad. Malahan semasa Mak De mengajak dia ikut sama berhari raya ke rumah Kak Mahani, pun dia tidak merasa pelik kerana memang dia rapat dengan keluarga Mak De. Dia sering menemankan Mak De bilamana Pak Denya outstation.

Dia tidak tahu kehadiran Fuad di rumah Kak Mahani memang telah dirancang. Dari Fuad kemudiannya dia mendapat tahu bahawa Fuad juga semasa itu tidak tahu bahawa Kak Longnya ingin memperkenalkan Ima kepadanya. Orang-orang lama memang bijak mengatur-aturkan jodoh. Dia ingat lagi bagaimana Mak De menjeratnya. Dia pula yang sememangnya suka berseloroh secara tidak sengaja terpaksa mengotakan kata-katanya.


‘Ima, Ima bila nak kahwin? tanya Mak De semasa mereka dalam perjalanan pulang menuju ke rumah.

‘Hee..hee.. apalah Mak De tanya macam tu. Tengok la, bila sampai jodoh kahwinlah Ima.’

‘Dah ada boyfriend ke belum?’ soal Mak De lagi.

Isshh..apa Mak De aku ni. Minggu lepas dah tanya, ini nak tanya lagi, ngomel Ima dalam hati. Dia sebenarnya bosan bila disoal tentang teman lelaki kerana yang sebetul-betulnya dia memang tidak mempunyai teman lelaki, tetapi jarang orang mahu mempercayainya.

Agaknya aku ni dah tua kot, dah memang patut ada boyfriend, sebab itu orang tak nak percaya, kata Ima lagi dalam hati.

‘Tak ada lagi,’malas sahaja Ima menjawab sambil dalam hatinya mengomel, berapa kalilah Mak De nak tanya tentang ini.

‘Betul Ima tak ada boyfriend? Ke Ima malu nak bagitau Mak De?’bertali arus soalan keluar dari mulut Mak De.

‘Betullah Mak De. Kenapa? Mak De dengan Pak De ada calon untuk Ima?Hee..hee,’balas Ima sambil ketawa panjang.

Mak De tersenyum lebar. Jeratnya sudah mengena. Pak De yang sedang memandu turut tersenyum mendengar perbualan mereka berdua.

‘Kalau Mak De ada calon untuk Ima, Ima nak kenal ke?

‘Ima no problem Mak De,’ Ima masih ketawa-ketawa. Dia masih menganggap Mak Udenya bergurau.

‘Serius?’soal Mak De.

‘Iye Mak Ude, Ima no problem. Tapi syaratnya orang tu mesti handsome macam Rosyam Nor. Pastu tak tinggal solat, pandai baca Quran, kira kategori orang beramal soleh la.’

‘Calon Mak De ni gerenti seribu kali lebih hensem dari Rosyam Nor. Bab beramal soleh tu.. ninety-nine percent confirm. So, Ima setuju la ni?’

Ima tersentak bila melihat Mak De berpaling ke arahnya dan menyoal dia dengan serius.

‘Eh! Ima main-main je la Mak De.’

‘Tadi kata no problem. Mana satu Ima ni. Ima kenal je dulu ok, kalau Ima suka kawanlah, kalau tak, Mak De tak paksa…..,’ujar Mak De. Sepanjang perjalanan itu Ima terpaksa menahan hati.

Itulah…main cakap je.Padan muka aku, getus hati Ima.

Pertemuan ‘rasmi’ Ima dan Fuad yang pertama di temani oleh Mak De dengan suaminya serta Kak Mahani dengan suami.

‘Ooo..kira kau dengan Fuad tu family arrangement la ye,’ujar Ana setelah mendengar penjelasan panjang lebar dari Ima.

‘Yup..macam tulah kira-kiranya. Awalnya Fuad pun macam aku jugak, skeptical. Tapi kita orang try berkawan dulu. At the same time, kita orang dah ingatkan family Mak De aku dengan family Kak Mahani, kalau jadi, Alhamdulillah la kan. Kalau tak, jangan pulak bermasam muka. Alhamdulillah….. sekarang dah masuk empat bulan kita orang berkawan.’

*****

Selesai menjamu selera di rumah pengantin, Fuad membawa Ima, Ana dan Hanim pulang ke rumah ibunya.

‘Fuad, mak awak dah tau ke saya nak datang ni?’soal Ima yang sedang memandu sambil menghala pandang ke arah Fuad. Dia menjeling sekali imbas melalui cermin pandang belakang, terlihat Ana dan Hanim tersengih-sengih.

Kurang asam betul budak-budak ni, gerutu hati Ima.

‘Apsal? Ima takut ke? Relekla, mak saya tak makan orang. Lagipun, Kak Long ada sama kat rumah tu,’jawab Fuad sambil ketawa.

‘Taklah takut, risau je.Risau mak awak terkejut tengok kita orang datang ramai-ramai ni,’ Ima cuba berlagak selamba, untuk menutup kegelisahan dihati. Walaupun menurut cerita Kak Mahani, Puan Aishah, emak kepada Kak Mahani dan Fuad, telah memberikan ‘seal of approval’ ke atas dirinya, dia segan untuk bertemu muka.

Namun begitu, sesampainya mereka di rumah emak Fuad, keramahan Puan Aishah berjaya menghilangkan rasa gemuruh yang bersarang di dada Ima. Tambahan pula Kak Mahani ada bersama. Selesai membersihkan diri dan menunaikan solat, Ima berserta rakan-rakannya menggabungkan diri dengan emak dan Kak Long Fuad di ruang dapur tengah.

‘Ima, malam ni tidur saja di sini,’pelawa Puan Aishah lembut.

‘Emm…takpe la makcik. Buat susah-susah makcik je,’selembut mungkin Ima menolak pelawaan Puan Aishah. Dia tidak mahu Puan Aishah berkecil hati dengan penolakkannya. Walaupun baru pertama kali berjumpa, Puan Aishah melayannya seperti sudah lama berkenalan.

‘A’ah Ima, besokkan Ahad. Tidur ajelah kat sini,’Kak Mahani pula menyampuk.

Serba salah Ima dibuatnya. Dia memandang ke arah Ana dan Hanim meminta pertolongan. Namun kedua-dua rakannya itu buat tidak endah sahaja. Fikirannya ligat mencari alasan-alasan yang munasabah.

‘Assalamualaikum. Mak, ini barang-barang yang mak suruh beli tadi. Kereta siapa kat luar tu? Kawan Kak Long ke?’terdengar suara lelaki dari arah pintu yang memisahkan ruang dapur tengah dan ruang tamu. Pasti lelaki itu tidak sedar akan kehadiran Ima dan rakan-rakannya memandangkan kedudukan mereka yang agak terlindung.

‘Wa’alaikummussalam. Itu kereta kawan Fuad. Achik, mari minum sekali dengan dia orang ni,’ tutur Puan Aishah.

‘Ima, ini abang pada Fuad. Anak makcik yang kedua bongsu. Achik, yang ini Ima, ‘kawan’ Fuad,’perkenal Puan Aishah sambil tersenyum. Semua yang ada dimeja makan turut tersenyum bilamana mendengarkan Puan Aishah menekankan perkataan ‘kawan’.

Ima terpaku memandang lelaki yang sedang melabuhkan diri untuk duduk di hadapannya itu. Pandangannya bersilih ganti antara Puan Aishah dan lelaki itu.

Aiman Hafizi!!! Abang Fuad!!!

Puan Aishah!!! Emak Fuad, tentunya emak Hafizi juga!

1 comment:

achiema said...

nnt aku bace! x smpat baca abis buk aku harus segera pergi..waduhh... bagus skali kamu ada blog, bleh ku tau perkembanganmu! udah dulu ye